Sekolah SJK(C) Pooi Seng terletak di Batu 13, Hutan Melintang Hilir Perak. Sekolah ini didirikan pada tahun 1944. Pada mulanya, ia hanya menyewa sebuah kedai untuk dijadikan sebagai bilik darjah. Pada masa itu, bilangan murid hanya 25 orang dan hanya seorang guru sahaja.
Oleh kerana penambahan murid pada tahun 1956, maka pengurus-pengurus sekolah pun menyewa sebuah tapak tanah untuk membina tiga buah bilik darjah dan dua buah bilik guru. Pada tahun 1959, Jawatankuasa Pembangunan Sekolah membina dua buah bilik darjah lagi.
Pada tahun 1970, sekolah ini mendapat wang bantuan modal untuk memasang pagar. Pada tahun 1973, sekolah ini mendapat wang bantuan lagi untuk membina tandas pam dan memasang elektrik dan lampu-lampu. Pada tahun 1977, sekolah ini mendapat wang bantuan daripada Ahli Parlimen Kawasan Bagan Datoh untuk membina sebuah gelanggang badminton yang berlampu. Pada tahun ini juga, PIBG sekolah ini telah membina sebuah kantin. Pada tahun 1978, Lembaga Pengurus dan Murid-Murid Tua berusaha untuk membina sebuah gelanggang bola keranjang bersimen dan berlampu dengan secara bergotong-royong.
Pada tahun 1984, Jawatankuasa Pembangunan Sekolah membina tiga buah bilik darjah lagi. Wang pembangunan ini diderma daripada Ahli-ahli Lembaga Pengurus, penyokong-penyokong, murid-murid tua, ahli-ahli PIBG serta penduduk-penduduk tempatan.
Pada tahun 1996, seubuah bilik darjah telah diubahsuaikan menjadi sebuah dewan kecil. Malam kebudayaan telah diadakan pada 22.11.1998 dan berjaya mengutip tabung aktiviti sebanyak RM 10,620.00. Mural telah dilukis pada dinding sekolah oleh guru-guru dan murid-murid yang diketuai oleh Encik Ng Pak Chong. Pada masa itu, sekolah ini mempunyai 89 orang murid dan 7 orang guru (termasuk Guru Besar).
Pada tahun 1999, Guru Besar En. Cheah Kin Fook bertukar ke SJK (C) Aulong di Taiping. En. Giam Beng Lee mengambail alih jawatan sebagai Guru Besar baru.
Pada tahun 2003, pihak sekolah menghadapi masalah kekurangan bilik darjah berikutan dengan pelancaran Program Pengajaran dan Pembelajaran dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Lembaga Pengurus memohon sumbangan untuk membina dua bilik darjah dan melengkapkan bantuan pengajaran dan pembelajaran.
Pada tahun 2006, Lembaga Pengurus menjalankan projek menaik taraf prasarana sekolah. Pintu pagar sekolah dan kantin dibaikpulih. Pejabat guru, perpustakaan dan tiga buah bilik darjah di pasang jubin. Tapak permainan kanak-kanak dibina supaya murid-murid dapat menjalankan aktiviti rekreasi pada masa lapang.
Pada tahun 2007, sebuah tempat letak kereta dibina didepan sekolah atas usaha Lembaga Pengurus dan PIBG sekolah. Jalan dihadapan sekolah diperluaskan untuk mengurangkan kesesakan lalulintas. Jumlah murid pada masa itu adalah 77 orang.
Pada akhir tahun 2007, Lembaga Pengurus menyumbangkan peruntukan untuk menambahbaik bilik Guru Besar dan bilik Pentadbiran untuk Guru-Guru Kanan.
Pada tahun 2008 Kementerian Pendidikan membina sebuah kelas pemulihan untuk menjalani program pemulihan. Lembaga pengurus membina dua buah bilik darjah untuk menampung penambahan bilangan murid. Pada bulan Ogos tahun 2011, En. Giam Beng Lee bersara wajib selepas berkhidmat disekolah ini selama 12 tahun. Pn. Kok Wei Frun mengisi jawatan sebagai Guru Besar.
Pada akhir tahun 2011, sebuah Bilik Gerakan dibina atas sumbangan waris mendiang Pn. Lim Kim Luan dan sumbangan ahli-ahli jawatankuasa Lembaga Pengurus dan PIBG sekolah.
Pada tahun 2012, kerajaan telah menyumbangkan peruntukan pakej Rangsangan Khas (PRK) 2012 Kementerian Pelajaran Malaysia berjumlah RM 50,000. Lembaga Pengurus Sekolah menjalankan kerja-kerja menaiktaraf sekolah seperti membaikpulih gelanggang bola keranjang, menambah luas tempat letak kereta dan membaikpulih pagar yang rosak.
Pada tahun 2013, kerajaan menyalurkan peruntukan Pakej Rangsangan Khas (PKR) Tahun 2013. Sejumlah RM 70,000.00 disumbangkan kepada Lembaga Pengurus Sekolah sebagai peruntukan menaiktaraf sekolah. Skop kerja melibatkan menukar tiang, bumbung dan menukar siling bangunan pentadbiran, membina owning di koridor dan menaiktaraf kantin. Tapak permainan kanak-kanak dipindah ke ruang di tepi bangunan kelas tahun 1. Tapak permainan yang asal diganti sebagai tempat berehat dan makan untuk murid-murid.
Mulai tahun 2014, sebuah padang telah dibina di sebelah bangunan dewan sekolah. Pada 15.8.2014, Lembaga Pengurus dan PIBG menganjurkan Majlis Makan Malam untuk merayakan Ulangtahun ke-70 sekolah dan menyambut Hari Guru Tahun 2014.
Kini, enrolmen murid ialah 107 orang, 11 orang guru, 3 orang staf sokongan dan 5 orang pekerja swasta.